Friday, October 8, 2010

Are you care of Malaysia?? ~~malay version~~


Apakah persamaan yang terdapat pada Jalur Gemilang, Bunga Raya, Lagu Negaraku, Tugu Negara dan Jata Negara?

Kebanyakan kita tahu bahawa Jalur Gemilang dan Negaraku adalah bendera dan lagu kebangsaan negara ini, tetapi tidak banyak anak muda yang sedar bahawa Bunga Raya dan harimau juga menjadi simbol negara kita.

Jika kita amati, kebanyakan organisasi besar dan sektor swasta menggunakan simbol itu dalam logo mereka seperti Proton, Maybank, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Filem Negara Malaysia.

Sayangnya, setelah usia kemerdekaan negara kita mencapai 53 tahun Selasa ini, masih banyak rakyat Malaysia yang belum sedar tentang erti sebenar serta benda-benda yang menjadi simbol negara ini.

Sejauh manakah rakyat Malaysia yang sedar bahawa Jalur Gemilang, Jata Negara, Lagu Negaraku, Bunga Raya, Tugu Negara, Bahasa Melayu, Proton Saga, Rukun Negara, Harimau dan Masjid Negara adalah sebahagian daripada simbol negara kita?

Berapa ramaikah daripada kita yang berasa marah atau mengambil kisah apabila penunjuk perasaan membakar Jalur Gemilang di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta Isnin lepas?

Semua simbol itu mencerminkan identiti negara, yang bukan sahaja masih samar dalam kalangan generasi muda, tetapi juga sesetengah orang dewasa dan organisasi berkaitan yang sepatutnya lebih tahu mengenainya.

Bahasa rasmi negara iaitu bahasa Melayu, kereta nasional pertama Proton Saga, Tugu Negara dan Masjid Negara tidak begitu diambil peduli oleh generasi muda.

Bercakap tentang penghayatan terhadap identiti negara, Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Sidek Jamil berkata generasi muda hari ini tidak akrab dengan simbol berkenaan.

Katanya semua simbol ini melambangkan perpaduan, keamanan dan sejarah negara, yang masing-masing mempunyai sejarah di sebaliknya.

"Bukan mudah untuk diiktiraf sebagai simbol sesebuah negara kerana prosesnya mungkin mengambil masa bertahun-tahun," katanya dalam temu bual ekslusif dengan Bernama baru-baru ini.

Sebagai contoh, kata beliau, bunga rasmi negara, Bunga Raya, dipilih selepas diadakan pertandingan yang melibatkan banyak bunga lain, termasuk orkid.

Bagaimanapun, kebanyakan orang tidak menghayati dan enggan menghargai nilai yang tersirat di sebalik simbol ini.

"Malah, ada antara mereka yang tidak tahu bahawa Bunga Raya mempunyai lima kelopak," katanya.

Ditanya sama ada sukatan pelajaran sekolah sekarang adalah mencukupi untuk membolehkan pelajar mengetahui dan menghargai simbol negara, Sidek berkata ia memang mencukupi, tetapi hasilnya banyak bergantung pada cara bagaimana ia disampaikan oleh guru kepada murid.

"Kalau selama ini guru yang memberi penjelasan kepada pelajar, cuba buat perubahan dengan meminta murid pula bercakap tentangnya agar mereka lebih memahami erti dan sejarah di sebalik sesuatu simbol itu," katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, pendedahan tentang semua simbol yang amat bernilai itu tidak seharusnya dilakukan melalui alam persekolahan semata-mata, tetapi perlu dilaksanakan secara berterusan termasuk di tempat kerja, restoran dan malah, di hotel.

"Seperti yang anda nampak sekarang, kebanyakan restoran makanan segera mempamerkan budaya Amerika melalui gambar koboi yang digantung di merata dinding. Saya rasa, inilah caranya Barat menjajah minda kita.

"Kesedaran perlu diwujudkan di mana saja...di sekolah, universiti, tempat kerja, restoran dan malah, di hotel," kata Sidek.

1 comment:

  1. I would like to invite readers to look from different perspectives. You can visit the following link:

    www.digitalibrary.my/.../015_peristiwa%20memali.pdf

    This paper was presented in Parliament.

    ReplyDelete